Wednesday, March 16, 2016

Secangkir Kopi (Tanpa Gula)

Sejak 2010 saya mengesan doktor perubatan ini, Dr Ismail Lasa (berbaju biru di sebelah saya) sangat meminati bidang sastera. Dari Pengarah Pusat Kesihatan Bangsar, ke Pusat Kesihatan Kuala Langat dan kini di Pusat Kesihatan Seremban beliau terus meminati puisi, cerpen dan novel. Untuk itu, saya tak lupa hadiahkan kepadanya buku-buku saya.

 smile emoticon
* Semalam Dr Ismail makan bubur kacang dan minum kopi tanpa gula.
Hari ini saya hadiahkan beliau puisi saya - SECANGKIR KOPI (tanpa gula)

SECANGKIR KOPI
Secangkir kopi panas ini, terhidang seperti mahuku
Kuaduk dengan arah lawan jarum jam, biar menyatu
Itu caraku bertahun... engkau sudah tahu sikapku
Kuhirup perlahan. Lagi dan perlahan
Kuletak cawan itu semula, demi puas
Lidah dan bibirku mengecut. Pahit!
Ini adalah pilihan, pahit atau manis
Kupilih pahit tanpa sebutir pun gula
Seperti hidup ini juga pilihan
Maka memilih itu perlu dengan akal
Kupilih jalan lurus, mana kutahu hujungnya berliku?
Atau kupilih jalan berlliku, mana kutahu hujungnya lurus?
Kopi ini terus kuhirup
Yang selamanya aku tahu, ia kekal pahit
Sri Diah
Gunung Semanggol, Perak.
* Terima kasih Dr Ismail yang selalu hafal - suka - ingat petikan kata-kata menarik tulisan saya. Saya sangat menghargainya. 15-03-16

Kerusi Dan Lantai Merah

Hari ini membaca berita dari Ankara, Turki dengan hati yang bolak-balik. 
(Teringat kejadian 132 pelajar mati kena bom ketika sedang belajar dalam kelas, 16 Disember 2014 di Peshawar, Pakistan). Apakah ini tidak mungkin berlaku kepada kita?

KERUSI DAN LANTAI MERAH
(Halaman 36 Kumpulan Puisi Amukan Hati)
Mereka ke sekolah dan tidak pulang lagi seperti kelmarin
Mereka tinggalkan kerusi merah dan lantai berdarah
(Aku tidak tergamak membasuhnya)
Pengganas telah hadir tiba-tiba dengan semangat perang
Padahal di hadapan mereka hanya pelajar tanpa senjata
Darah melimpah, terburai dari perut, dada dan kepala
Sekeliling yang terlihat adalah tubuh menggelinding
(Sekejapan habis nyawa bidadari itu)
Dunia kebisingan. Melaung. Mereka membentak
Namun seperti biasa, seketika cuma!
Pembuat senjata terus bertukar senarai harga
Tauke senapang, membincangkan harga bom pula!
Seminggu, sebulan, setahun atau bertahun ke hadapan
Akan adalah lagi nanti kerusi merah dan lantai berdarah.
Sri Diah
Shah Alam

* Mengenang kematian 132 pelajar di Peshawar, Pakistan.
(Halaman 36, Kumpulan Puisi Amukan Hati - ITBM 2016)