Thursday, June 30, 2005

SOALAN CEPUMAS
SEMALAM,
Alifin iaitu pengendali laman web Alaf 21 mengirimkan salinan email untuk saya yang dihantar melalui alamat email Alaf 21. Email berkenaan daripada Puteri Balkis, Ampang, Selangor. Sebelum ini pun Alaf 21 memang kerap forwardkan apa sahaja email mengenai penulis-penulis kepada tuan punya diri. Saya amat terharu membaca email Puteri Balkis dan email mereka yang lain yang prihatin dengan semangat saya berkarya. Sebabnya menulis novel adalah minat saya semata berbanding dengan kerja seharian yang wajib saya lakukan.

Soalan Puteri Balkis sama seperti yang kerap saya terima sebelum ini iaitu bilakah karya terbaru saya akan diterbitkan? Ini adalah soalan cepumas untuk saya akhir-akhir ini. Menurut mereka jika 2003 ada Kuala Lumpur Di Mana Suamiku, 2004 Jangan Ada Dusta, jadi apakah untuk 2005 memandangkan Jangan Ada Dusta terbit Februari 2004. Sekarang sudah Julai 2005.

Sebenarnya manuskrip berkenaan sudahpun diserahkan ke pihak Alaf 21. Sama seperti orang lain saya juga harus menanti giliran yang ditentukan oleh pihak Alaf 21. Oleh itu saya tidak mempunyai jawapan pada soalan berkenaan (harap-harap Editor Alaf 21 membaca keluhan ini dan segera menerbitkan novel saya...)

Oh ya, esok ada pertemuan peminat dan penulis novel. Majlis bermakna anjuran Alaf 21 ini akan dihadiri kira-kira 30 orang tetamu. Sesiapa yang sudah berjanji hendak datang, harap dapat datang. Rasanya ada banyak perkara yang boleh dibincangkan untuk manfaat bersama. Jadi jumpa esok ya....!

Wednesday, June 29, 2005

FORUM ASTORA JABAT vs DR. MOHD. ASRI
- Gerakan Tajdid Satu Perbincangan

Tarikh: Sabtu, 9 Jamadiul Akhir 1426 - 16 Julai 2005
Masa: 8.30 pagi - 1.00 tengah hari
Tempat: Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP, Kuala Lumpur
Bayaran: RM30.00
Anjuran bersama: Dewan Bahasa & Pustaka, Kumpulan Karangkraf dan Barakat Al-Aziziyyah

* Seminar-seminar yang telah anjurkan sebelum ini, antaranya Seminar Pertelingkahan Sahabah (2003), Seminar Penyelewengan Tarikat (2004), dan Seminar Bahaya Islam Liberal (Mei 2005). Semuanya padat dengan ilmu, dan panas dengan reaksi peserta dan penceramah. Kali ini dua orang penceramah untuk berdebat mengenai berbagai-bagai isu agama terkini:

Astora Jabat: Editor Majalah Al-Islam, juga kolumnis ruangan agama di akhbar Mingguan Malaysia. Tulisan dan pandangan beliau mengenai isu-isu dan hukum-hakam Islam, selalu dianggap kontroversi dan bercanggah dengan pandangan umum. Beliau menyuarakan pendapat tanpa selindung dan sedia menerima kritikan dari orang ramai.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin: Pakar ilmu hadis, dan kini menjadi pensyarah kanan Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia (USM). Sering memberi ceramah mengenai isu-isu agama semasa, dan membentang kertas kerja pada seminar dalam dan luar negara. Menghurai dan sanggup berhujah mengenai sesuatu perkara berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Matlamat Program: Mendapatkan penjelasan mengenai berbagai-bagai isu terkini agama. Kedua penceramah akan mengemukakan hujah berdasarkan fakta-fakta ilmiah, juga berpandukan sumber-sumber yang diperuntukkan oleh hukum-hakam agama Islam.

Mengelakkan buruk sangka di kalangan sesama Islam, menerusi penyebaran maklumat yang tepat. Mencari kejernihan dari kekeruhan yang berpunca dari kelemahan dan kurang pengetahuan mengenai sesuatu perkara. Membuka peluang kepada peserta untuk bertanya perkara-perkara yang menimbulkan keraguan, juga sama-sama berhujah dan memberi pendapat berhubung satu-satu isu agama.

HUBUNGI: 03-51013888 - Ahmad Yani ext 856/Ahmad Baei ext 881/Saharom ext 876/Nurol Shafie Anuar ext 724/Mazni/Warda ext 311 jika berminat.

Monday, June 27, 2005

JIWA KENTAL DI KEM LAMBAIAN DANAU
ADA pelbagi aksi berani mati GEJU di Kem Lambaian Danau yang dimuatkan dalam Majalah REMAJA 1 Julai ini (minggu ni dah ada di pasaran). Ada aksi pak we dan mak we berdua-duaan di atas titi. Ada juga aksi bapak orang dengan bangganya dapat melarikan dua anak dara naik rakit... ada juga aksi 6 jejaka macho di pasaran sedang berjuang untuk bernafas paling panjang. Ok, ahli GJ boleh dapatkan naskhah ini di pasaran, belilah lebih sikit, sedekah pada kawan-kawan... supaya jualan REMAJA terus booom! Masa yang sama bisnes Kak G pun makin maju. KLD pun makin glamor!

* Webmaster majalah ini sedang bertungkus-lumus memasukkan bahan, mungkin sekejap lagi anda boleh tengok online. Sorry, webmaster kata tunggulah majalah beredar di pasaran dan belilah senaskhah...

Thursday, June 23, 2005

ADA 65 RIBU JAWATAN KOSONG!
APABILA kerajaan menarik balik perakuan terhadap universiti di Ukraine, siapa yang pening kepala? Kursus dah lama berjalan. Ramai pelajar yang telah dan sedang menuntut di sana. Tiba-tiba perakuan, biasiswa dan segalanya ditarik balik. Apa nak jadi dengan pelajar dan masa depan mereka, keluarga mereka dan negara? Kenapa tak fikir isu berkenaan sebelum ini?

Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini mengumumkan terdapat 65 ribu jawatan kosong terutama dalam sektor pembuatan, perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan awam. Ini juga termasuk dalam bidang 3D iaitu bidang berbahaya, kotor dan sukar. Nawaitu kementerian - dengan menceburi bidang ini kerajaan berharap dapat mengatasi masalah pergantungan pada pekerja asing.

Menterinya Datuk Dr. Fong Chan Onn berkata kerajaan mahu membantu siswazah mendapat kerja dan menukar persepsi terhadap sektor 3D dan juga bidang pekerjaan tradisional seperti buruh, penyelia kilang, pekerja sektor pertanian, guru tuisyen, pemandu pelancong dan pekerja perkhidmatan. Saya pun galakkan juga hal ini. Ok, bagi yang ada ijazah anggap ini sebagai batu loncatan. Kerja dulu sebelum mendapat pekerjaan lain yang lebih sesuai.

Sekarang hari-hari nak guna duit. Ke toilet pun dikenakan bayaran. Air putih kosong/suam pun ada harga. Nak bagi mak bapak duit, nak bantu adik-adik, nak belanja awek, nak simpan duit untuk kahwin dan banyak lagi. Semuanya perlukan RM. Sekarang bukan lagi masa untuk memilih kerja...

* Kalau ada kredit phone, jangan habiskan untuk sms/undi :-)

Tuesday, June 21, 2005

HARI ini hari istimewa untuk orang yang sungguh teristimewa dalam
16 tahun kehidupan bersamanya.

One tree can start a forest
One smile can start a friendship
One touch can show you care
.. and one hubby like you can make life worth living.


Happy birthday to my hubby!

Saturday, June 18, 2005

MY ABAH, MY HERO
DIA Haji Shaharuddin Sulaiman, anak paling bongsu daripada sebelas beradik kesemuanya lelaki. Dia dilahirkan kembar. Bagaimanapun kembarnya, seorang perempuan meninggal ketika kecil. Saya hanya kenal enam sahaja saudara sebelah bapa kerana lima daripadanya meninggal ketika kecil. Mereka ialah Pak Teh Bakar (arwah), Pak Andak Ibrahim (arwah), Pak Lang (arwah), Pak Noh (arwah), Pak Uda Mansor dan Pakcik Shahar (arwah). Kini mereka tinggal berdua - Abah dan Pak Uda Mansor. Semasa mudanya abah ialah Jurutera Mesin, di Syarikat Atlas Ice di Sungai Besi.

Di hari istimewa ini saya mengenang dirinya sebagai lelaki yang santun, banyak senyum, lemah lembut orangnya, yang tidak pernah meninggikan suara, yang tidak pernah dilihat yang dia sedang marah, yang tidak pernah memukul sekalipun tidak pernah menjentik kami adik beradik. Dengan emak pun dia tidak pernah berkasar. Begitulah juga sikapnya dengan jiran-jiran dan saudara mara. Di mata saya tiada yang buruk tentang dirinya.

Malah apabila kami bermasalah dan memeningkan kepalanya, dia selalu menangani dengan tenang. Ketika saya dalam dilema remaja dengan pak we yang bersilih ganti, ketika kakak dan adik dengan masalah mereka, ketika abang juga bermasalah, abah tetap cool. Semua selesai cara baik. Satu yang best - jubah, ketayap dan serbannya dia basuh sendiri. Dia juga tidak cerewet makan. Lauk dan nasi diambil sendiri dari periuk. Kalau setakat telur dadar atau buat cucur bawang, dia memang terror. Cucu mintak saja, dia mesti ke dapur.

Ketika di sekolah rendah, dia sendiri mengajar kami adik beradik membaca mukadam dan al quraan hingga khatam. Ketika mengajar, ada rotan di bawah paha dia bersila, tapi tak pernah langsung dia gunakan. Sampai hari ini tugasnya di surau ialah sebagai imam, memberi syarahan agama, selalu menjadi tempat rujuk ahli madrasah hinggalah memandikan jenazah. Paling menyentuh hati - kami adik beradik perempuan dinikahnya sendiri, tidak berwakilkan wali.

Satu yang istimewa - kami lapan beradik lahir berselang bunga (tahu kan? lelaki/perempuan berselang seli) semuanya sudah selamat berkahwin. Kini Tok Din menjadi datuk kepada 19 orang cucu. Cucu-cucunya juga lahir berselang bunga!

Sebagai hadiah hari bapa untuknya tahun ini, saya sedang mengaturkan satu pertemuan dialong dengan seorang penulis yang selalu dia baca dan kumpul tulisannya - Astora Jabat! Baru-baru ini abah tanya saya apa dia nak buat dengan tulisan-tulisan penulis berkenaan yang sudah dia kumpul hampir sejengkal tingginya. Oh, sudah tentu saya akan menyusun cutting paper itu dan akan menghantar binding untuk abah!

Rak bukunya sudah penuh dengan buku dan kitab kerana hadiah saya setiap bulan untuknya ialah buku-buku agama yang mencabar mindanya. Kalau murah saya beli dua atau tiga naskah. Kalau mahal satu naskah cukup asalkan dia dapat meneruskan minatnya membaca. Buku paling akhir saya beli untuknya ialah Bahaya Islam Liberal, bulan lalu.

Tiada lelaki lain yang paling saya hormati di dunia ini melainkan dia.
Untuk abah, semoga sihat dan panjang umur!

Friday, June 17, 2005

HIDUP LAGIKAH?
MENGUMPUL lebih enam orang saksi untuk satu kes saman yang dikemukakan pada 2000 kini mula mengisi tugasan harian saya. Kes akan disebut semula dalam waktu terdekat ini. Daya ingatan kepala otak kini sedang diperah untuk recall pada kejadian lima tahun silam...

* Di mana kuletakkan kismis kuat ingatan tu?

Wednesday, June 15, 2005



ENAM puluh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Labang, di Pensiangan, Sabah mempertaruhkan nyawa hampir setiap hari apabila terpaksa melalui jambatan gantung usang melintasi Sungai Salaput, di Kampung Labang, untuk ke sekolah. Gambar Berita Harian

adik-adikku
kamu bukan melangkah dengan azam belajar
melangkah kamu dengan nganga buaya
nganga buaya itulah yang kau hadap saban hari
saban hari membayangkan maut untukmu
dan kau terus bergayut, menyusun langkah
pastikah itu langkah ke sekolah?
atau itulah langkahmu
ke negara abadi

adik-adikku
kamu belajar apa hari ini?
esok lusa
mintalah ustazahmu
mengajar padamu
doa panjang umur pula!

- Kakakmu di kota kurang ajar;
Kuala Lumpur.

Tuesday, June 14, 2005

ARGHHH...!
TANPA masalah hidup rasa mendatar dan tidak berkembang. Setiap kali bila kita berjaya menyelesaikan masalah, potensi diri terasa meningkat. Dalam masa sama, pengalaman juga terasa bertambah, sekaligus keyakinan pada diri akan lebih menonjol.

Masalah adalah normal dalam kehidupan. Sebenarnya orang yang tak ada masalah sebenarnya dia mempunyai masalah. Setiap kali kita ditimpa masalah ingatlah; hari ini berjuta orang lain juga ditimpa masalah dan kita adalah salah seorang daripadanya, jadi apa masalahnya?

Monday, June 13, 2005

MAJLIS PELANCARAN DANA PENDIDIKAN KARANGKRAF
Oleh YB. Dato' Dr. Shafie Mohd. Salleh
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia
3 Petang - Lobi utama KKSB


* Dana ini diwujudkan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan menghargai seluruh warga kerja. Dana ini bertujuan untuk pembiayaan pendidikan kepada pekerja dan juga anak-anak pekerja. Ia terbuka kepada seluruh warga kerja Kumpulan Karangkraf yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.

Adalah diharapkan dana pendidikan ini dapat meningkatkan kemahiran, pembangunan diri, daya saing, menjanakan professionalism, taraf akademik dan mutu kerja warga Karangkraf khususnya dan kepada syarikat amnya. Warga kerja amat digalakkan untuk memohon dana ini.

Tahap pendidikan yang ditawarkan merangkumi berbagai tahap dan bidang pengajian termasuklah sijil,diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran. Pengajian tahap sijil dan diploma ditanggung penuh oleh syarikat. Manakala bagi tahap sarjana muda, sarjana dan kedoktoran, pemohon hanya perlu membayar `separuh daripada yuran pengajian pemeriksa luar' sahaja atau 25 peratus daripada yuran pengajian dan bergantung kepada bidang pengajian serta kadar tukaran wang asing.

Friday, June 10, 2005

SOAL JAWAB vs SOAL TAK BERJAWAPAN
HARI ini 8 orang peserta dari Malaysian Top Host TV3 membuat lawatan ke KKSB. Mereka terpilih ke rancangan realiti itu daripada beribu-ribu penyertaan dan diberi tugasan yang mencabar antaranya ke lorong belakang mati, ke rumah orang tua, ke lokasi crime, kilang haram dan lain-lain lag i. Setelah soal siasat, kesemua mereka bukan mengambil bidang broadcasting, malahan seorang daripadanya adalah doktor.

Berikut secebis soal jawab bersama salah seorang mereka:

Peserta: Kak, dah berapa tahun bekerja di sini?
Saya : Eh, baru je 20 tahun.

Peserta: Kak, kenapa pekerja sini muda-muda belaka?
Saya: Sebab mereka belum lagi tua.

Peserta: Saya nampak ramai perempuan, tak ramai pekerja lelaki?
Saya : Pekerja lelaki ada, tapi you tak nampak.

Peserta : Kak, photoshop tu boleh buang jerawat, tahi lalat?
Saya : Iya, kalau nak tambah mata jadi tiga biji pun boleh...

Peserta : Kak dahlah tak nak tanya, akak loyar buruk
Saya : Hehehe oklah, sebab awak loyar baru.

Hahahah... Ini cerita orang publishing dengan orang broadcasting. Yang datang tadi 8 orang, maknanya dalam siaran minggu ini seorang peserta telah terkeluar. Siapa? Saya dah tau dah... Good Luck untuk semua yang tinggal. Khabarnya sampai masa hanya tinggal 3 orang sahaja. Minggu ni si Donald Trump tu pun nak buang lagi peserta. Saya sendiri harap pompuan mulut laser yang dah tua tu keluar!

Thursday, June 9, 2005

SYUKRAN! SYUKRAN!
KEBOLEHAN berbahasa Arab kini menjadi advantage terutama di bidang pelancongan untuk bulan-bulan Mei hingga Disember di negara kita kini. Kerana apa? Puncanya hampir satu juta pelancong dari Timur Tengah telah dan akan membanjiri Malaysia pada tempoh berkenaan untuk menghabiskan cuti musim panas mereka.

Kita boleh lihat di Golden Triangle sahaja, wanita berpurdah dan lelaki Arab yang berpakaian ala Allahyarham Yasser Arafat (siapa boleh bagi tau nama khas untuk pakaian demikian?) kini menjadi fashion in town! Tidak dinafikan yang perempuannya cantik-cantik dan yang lelakinya memang handsome!

Malah hotel-hotel juga telah mengkhaskan beberapa tingkat di hotel mereka dengan gaya hiasan ala Timur Tengah. Ada hiasan pokok palma, pokok kurma dan irama muzik padang pasir. Nampak gaya macam hiasan dalam Hikayat 1001 Malam! Hidangan pun mewah dengan minyak sapi, kambing, salad mediterranean, roti stereng tu, kebab dan macam-macam lagi. Saya pun pernah tertengok di Sunway Lagoon, ada yang masuk mandi kolam sekali dengan jubah!

Jualan Mega Malaysia yang berlangsung dari 23 Julai hingga 24 September nanti dijangka akan menambah lagi jumlah pelancong. Disamping itu rakyat Indonesia merupakan antara pelancong yang gemar membeli-belah di Malaysia dan mengikut kajian, mereka membelanjakan 38 peratus dari keseluruhan perbelanjaan untuk membeli-belah di sini, kata Timbalan Menteri Pelancongna, Datuk Zahid Hamidi.

Rasanya sasaran menarik lebih sejuta pelancong dari Indonesia tahun ini akan tercapai sebabnya sehingga Mac lalu, seramai 241,000 rakyat negara berkenaan melancong ke Malaysia. Tapi kan, masa yang sama rakyat kita pergi cari nasi padang, daging dendeng dan sup buntut sapi serta telekung bersulam di Indonesia pun makin ramai jugak...!

* Oh ya, silalah baca LIBUR (dalam BM) dan TRAVERAMA (dalam BI)- dua buah majalah pelancongan terbitan KKSB. Kedua-dua majalah ini telah diiktiraf oleh Kementeri Pelancongan Malaysia. Malah telah diarah untuk diletakkan di bilik-bilik hotel. Terima kasih Datuk!

Tuesday, June 7, 2005

SELASA NAN INDAH
SALAM pagi Selasa nan indah! Lama sungguh rasanya tak menulis di sini. Terasa pula seperti sudah jauh daripada teman-teman. Pergi ke blog semua rakan, kadang-kadang sempat juga tinggal jejak, tapi banyak yang sempat membaca saja.

Ada dua perkara yang hendak dikongsi hari ini. Pertama; novel saya untuk 2005 sudah siap dan sudah diserahkan kepada Alaf 21. Ada saya berikan tiga tajuk cadangan yang rasanya relevan dengan jalan cerita. Bila nak terbit? Itu terpulang pada budi bicara penerbit dan terletak pada tanggungjawab Editor Alaf 21. Harap-harap editor yang dipertanggungjawab untuk menangani novel saya ini akan dapat berkerjasamanya dengan saya.

Hasrat seterusnya ialah untuk menulis lagi dan lagi... sekarang barulah terasa lega sedikit, seperti terlepas daripada belenggu. Barulah ada kesempatan untuk singgah lama di blog rakan-rakan dan menyapa. Paling penting untuk singgah di blog pengulas buku untuk mengetahui kecenderungan pembaca. Terima kasih kepada mereka semua yang rajin mengkritik dan memberi pandangan serta hala tuju dunia novel Melayu. Oh ya, ada satu lagi hutang - untuk mengemaskini Jangan Ada Dendam. Ini hutang saya pada ahli keluarga JAD, dan abah & emak akan kembali berkonflik...

Perkara kedua - saya seperti melupakan (buat-buat lupa) pada tarikh 28 Mei 2005 lalu! Tarikh keramat yang selalu saya abadikan dalam sajak-sajak. Antaranya dua sajak yang di tepi kiri blog ini iaitu Antara Kita dan Kerana Kita. Satu lagi yang saya ingat ialah sajak berjudul Asmara ini Amanah; Ianya Nikmat, tersiar di Mingguan Malaysia pada Mei 2002. Ya, sudah 17 tahun gerbang cinta kami terbina dan alhamdulillah terus utuh masa kini dan harapnya insyaAllah akan datang, hingga akhir nyawa.

* ... ya, saya suka selasa! ianya hari pillihan saya untuk pelbagai perkara. antaranya hari membuat keputusan, hari untuk temujanji dan hari yang perlukan lebih perhatian. barangkali saya suka selasa kerana selasa ialah hari kelahiran saya. selasa sebenarnya hari kelegaan setelah ditekan hari isnin yang memenatkan kerana permulaan minggu. bagaimanapun ini terpulanglah pada tafsiran individu...