Monday, May 30, 2005

MENGUKUH UKHWAH
WAH ramai sungguh yang bercuti. Cari orang tu, tak ada. Cari orang ni, tak ada. Alasannya - Bercuti. Anak cuti sekolah, sekali dengan mak bapa bercuti. Tak mengapa cuti kan hak masing-masing. Pergilah bercuti dan ambiklah kuliti time tu untuk anak-anak dan isteri. Tapi yang pentingnya kerja kena bereskan dulu. Janganlah seronok-seronok bercuti orang yang di pejabat kena habiskan kerja kita. Lagilah makcik hangin kalau cuti dulu kemudian baru apply cuti. Nak kenalah tu...

Cuma nak pesan - berhati-hati ketika memandu. Kalau letih berhenti dulu. Apalagi yang membabitkan perjalanan jauh berjam-jam memandu. (MBA le tu!) Berziarahlah ke rumah sanak saudara, merapatkan ikatan. Sebabnya entah bila dapat balik kampung semula. Kesempatan yang ada kena guna sepenuhnya, jangan dok berlengkar je depan tv atau tidur je dalam bilik hotel - baik tak payah balik kampung, baik tak payah pi cuti.

Minggu lepas
Abu Zar datang opis. Alhamdulillah dapat kenal dengan isteri dan anaknya. Selepas ini pula saya sekeluarga bolehlah berkenal dengan seorang lagi warga blog - Bahtiar yang sejak semalam dah menjadi jiran saya. Sebelum ni Semut dan Zino pun berkampung di Bandar Tun Razak. Best kan duduk BTR @ Kg Konggo. Tu yang membuatkan saya sayang nak keluar dari BTR. Di sini selain ada rumah emak dan bapa, ada rumah nenek saya. Tiga rumah adik beradik saya pun di sini. Selain tu kebanyakan makcik & pakcik di BTR dah jadi kroni. Kata depa, kalau anak saya sesat pun dia orang tau anak siapa...

Thursday, May 26, 2005

"MANA MAMA... MANA ABAH..."

AIMAN Nasriq Rozlan membelai Muhammad Aiman Firdaus sambil diperhatikan Aiman Najmi pada pertemuan pertama tiga beradik yatim piatu itu selepas kemalangan yang meragut nyawa ahli keluarga mereka, di Hospital Kota Bharu, Kelantan semalam - Gambar Utusan Malaysia.

BERSYUKURLAH pagi ini apabila bangun dari tidur kita masih diberi nyawa untuk terus hidup, untuk terus memberi kesempatan kepada kita mencurahkan kasih sayang dan memberi perlindungan, perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak. Masih banyak yang perlu dilakukan. Masih banyak yang mesti diperbaiki. Anak-anak pula masih memerlukan belaian dan tunjuk ajar. Memang tanggungjawab kita masih belum beres.

Salam takziah untuk seisi keluarga dan sanak saudara Allahyarham Rozlan Ayub, 36, Sarimah Othman, 33, serta kakak sulungnya, Nur Natasya, 10, dan adik sulungnya, Nur Alisya A'syah, 2. Kemalangan di Kampung Kok Pasir Tumpat, pagi Ahad lalu tetap basah dalam ingatan kami.

Wednesday, May 25, 2005

ALAHAI ANAKKU...
ANAK kedua saya, Anas Iqbal, 12 tahun yang akan menduduki UPSR tahun ini meninggalkan notes di atas meja pagi tadi. Dia tulis begini...

"Mama, maafkan abang sebab ujian bulan ni dapat 4A dan 1B. Lagi satu sorry sebab malukan Sri Diah. Kertas B tu ialah kertas BM."

Hahaha, masa bila dia tinggalkan notes tu? Malam tadi tak nampak pun kertas tu atas meja! Dalam kereta semasa hantar dia ke sekolah pagi tadi saya pun cakaplah baik-baik pada dia... tak apa ini hanya ujian bulanan dan kertas BM yang dapat B tu pun cuma dua mata saja nak ke pangkat A. Jadi dia janganlah risau sebab UPSR bukan bulan depan...

Esok sambutan Hari Guru di Sek. Kebangsaan Seri Tasik dan dia sebagai Ketua Pengawas kena buat ucapan mewakili semua pelajar. Katanya, "malam ni nak pergi rumah Tok Din (bapa saya) nak mintak air jampi. Nanti taklah gemuruh atas pentas." Kenapa pula nak gemuruh? Bukankah selalu bagi ucapan, baca doa pada hari perhimpunan setiap Isnin? Soal saya. Kata Anas, "esok hari istimewa, rasa macam tak yakin."

Rasanya bukan budak-budak sahaja, kita yang dewasa ini pun ada rasa gementar apabila diminta bercakap depan public yang bukan calang-calang orangnya. Sesiapa yang pernah mengalami detik ini, pernah tak rasa macam pakai baju terbalik... rasa macam pipi senget sebelah pun ada jugak...

Friday, May 20, 2005

NIKMATNYA BERSENDIRI
JARANG saya dapat rasa lapang, rasa rilek seseronok tengahari ini. Di saat ini pejabat agak lengang, staf yang ada boleh dikira dengan jari. Mungkin yang lain pergi tugasan luar, ada juga yang bercuti dan ramai yang outstation. Kebanyakan staf lelaki mungkin bersembahyang dan yang perempuannya tentu mencuci mata ke Kompleks PKNS, ke Alam Sentral atau mungkin ke Plaza Masallam dan ke mana-mana saja, lari daripada rutin pejabat.

Saya tutup lampu, bersembunyi bersunyi-sunyi di bilik ini sambil mendengar lagu-lagu merdu Alleycats dari satu CD ke satu CD. Melelapkan mata, melayan dan memanjakan diri. Memang betul, sesekali kita teringin hendak memanjakan diri, bersantai dengan diri sendiri. Orang lain saya tak tahulah, tetapi bagi saya ini penting untuk muhasabah, berfikir tentang semalam, tentang hari ini dan hari esok.

Sesekali rasa ingin senyum, sesekali rasa ingin menangis. Selalunya saya akan buat begini; kalau suka saya akan senyum sesukanya, ketawa panjang dan kalau sedih saya akan menangis sepuasnya. Tak lama kemudian terus rasa lega! Semua yang negatif hilang, diganti dengan yang positif. Tapi itulah, nak cari masa senggang macam ni memanglah payah!

* Sorrylah ya, hari ini sentimental sikit.

Thursday, May 19, 2005

PEMBERITAHUAN
Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Yayasan Pelajaran Islam (YPI) sedang menganjurkan Hadiah Sastera Berunsur Islam VII dengan pengkhususan dalam puisi dan cerpen. Sehubungan itu, para penulis dipelawa mengirimkan tidak lebih daripada lima buah puisi dan tidak lebih tiga buah cerpen yang panjangnya antara 15 hingga 20 muka surat.

Hadiah yang ditawarkan bagi puisi ialah RM3,000 (pertama), RM2,000 (kedua), RM1,000 (ketiga) dan tiga hadiah penghargaan bernilai RM500 setiap satu. Hadiah bagi cerpen ialah RM5,000 (pertama), RM4,000 (kedua), RM3,000 (ketiga) dan tiga hadiah penghargaan bernilai RM1,000 setiap satu.

Keterangan lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi Urus Setia Hadiah Sastera Berunsur Islam Ke-XII, Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Peti Surat 10803, 50926 Kuala Lumpur atau hubungi Rohaya Harith 03-21482558. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Disember 2005.

p/s - untuk mengembalikan semangatku yang hilang...

Wednesday, May 18, 2005

HEBATNYA LELAKI
THE Apprentice malam Isnin lalu menguatkan hakikat, berani mestilah kerana benar. Bahawa pekerjaan yang ada hubungkait dengan orang ramai perlulah dilakukan secara sepakat - yang akan membawa berkat. Ia samalah dengan iklan simcard di televisyen, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Tetapi berapa ramai antara kita yang boleh mengikut kata orang lain walaupun arahan yang diberi payah untuk diterima akal? Bolehkah kita menerima arahan yang kita tak suka, tak boleh buat dan tak mahu lakukan... tapi terpaksa lakukan juga? Selalu kita diingatkan dalam kerja berpasukan jangan fikirkan kroni dan lain-lain yang negatif. Yang penting tak kiralah ketua itu siapa dan apa jantinanya asalkan respect menjadi kunci.

Suatu frasa yang saya ingat dalam siri malam isnin lepas ialah ; Tanda lelaki itu hebat ialah dia jatuh di saat dia di puncak - Martin Luther King. Orang perempuan pulak macam mana, bila masa dia hebat ya?

p/s; Tapi saya tak suka siri tu bab banyak mencarut. Asyik-asyik tuuutt... kejap-kejap tuuutt...

Monday, May 16, 2005

SELAMAT PAGI CIKGU
TERIMA KASIH atas tunjuk ajar yang diberi. Rasanya tanpa bimbingan cikgu-cikgu para pendidik di sekolah rendah, sekolah menengah, dan di universiti saya tak akan menjadi seperti saya hari ini. Budi cikgu semua tersemat di hati dan akan dibawa mati. Selamat Hari Guru kepada semua terutama warga pendidik (bloggers) yang baru saya kenali. Antaranya Cikgu Ain (Puteribayu), Cikgu Midad, Cikgu Yaz, Cikgu As Ramy dan lain-lain yang tak tersebut. Salam kasih abadi.

GURU OH GURU

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan SN Dato Usman Awang


Dipetik daripada buku antologi puisi Guru oh Guru yang
diselenggarakan oleh Zam Ismail terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP), Kuala Lumpur, 1989

Sunday, May 15, 2005

SELAMAT MENYAMBUT HARI BELIA
Banyak kenangan pahit manis semasa saya menganggotai persatuan belia masa muda-muda dulu. Asalnya belia kampung, kemudian jadi belia bandar. Di situlah bermulanya segala. Diasuh memimpin, diberi kepercayaan dan tanggungjawab. Memang saya banyak belajar daripada persatuan belia. Terimakasih kepada semua guru-guru yang mengasuh dan memberi dorongan. Yes, saya boleh!

Friday, May 13, 2005

RINDU MASA SILAM
A'kum, dah lama saya tak baca puisi-puisi Kak Sri. Akhirnya hari ini saya membaca puisi Kak Sri. Masih terasa sentuhannya, masih kaya dengan bahasa kreatif, ternyata masih hebat berpuisi. Teringat zaman Kak Sri rajin menulis puisi dan cerpen dulu, saya suka membacanya, saya potong dan simpan. Harap Kak Sri terus menulis puisi dan juga cerpen. Jangan tinggalkan.

Tentang novel, pun saya happy membacanya. Kekalkan keindahan gaya Kak Sri berbahasa. Tak semua orang boleh... ramai penulis muda kini yang bahasanya straight forward je. Tak ada jiwa membacanya... Salam.
Peminat Puisimu | 05.12.05 - 5:02 pm | #


ENTRI 6 Mei saya adalah sebuah puisi yang saya tujukan khas kepada bonda. Dan komen seorang daripada pengunjung amat menyentuh hati. Komen di atas adalah satu komen yang jujur bagi saya. Dan ekoran itu saya berasa amat bersalah (berdosa?) kerana telah mengabaikan kepuasan orang lain kerana saya telah tidak lagi (gagal?) menghasilkan puisi-puisi dan cerpen-cerpen.

Bagi penggemar puisi kepuasan batin adalah besar maknanya dan ia memberi makanan jiwa yang lain daripada kepuasan lain. Saya faham itu kerana itulah yang saya alami (anuti?) pada tahun-tahun 80-an dan akhir 90-an apabila puisi dan cerpen adalah makanan rohani saya. Ke mana rakan-rakan puisi yang dulu? Mereka masih ada namun ada yang sudah pergi dan pemergian mereka ada saya catat dalam entri-entri saya. Benar, saya berasa amat kehilangan apabila mentor saya sudah tiada. Itu adalah alasan utama selain alasan kesibukan dan kurangnya daya kreativiti apabila diasak oleh tugas-tugas pentadbiran.

Saya masih ingat pada kemenangan puisi-puisi saya dalam beberapa pertandingan antaranya `Asmara Ini Amanah', `Kenang-kenangan', Hujan Sore di Cipanas', `Kaca Impian', 'Wanita Tahanan Reman' dan banyak lagi... kepuasan itu lain rasanya berbanding dengan kejayaan sekarang menghasilkan beberapa judul majalah. Sejujurnya saya benar-benar ingin minta maaf pada peminat puisi dan cerpen saya yang berasa ada sesuatu yang hilang daripada jiwa mereka...

Wednesday, May 11, 2005

SEDIHNYA NASIBMU AHMAD HAFIZAL...
ALAMAK... mood saya malam tadi spoil apabila menonton Buletin Utama TV3. Hari saya pun suram sikit pagi tadi setelah menatap akhbar tentang remaja yang memilih untuk dipenjarakan kerana gagal menyertai PLKN pada Julai 2004. Ahmad Hafizal ... akak simpati dengan nasibmu!

Tuesday, May 10, 2005

JANGAN BIARKAN WANITA BERJUANG SENDIRIAN
TIADA perasaan paling hiba saya rasakan minggu ini melainkan membaca kisah-kisah malang yang menimpa wanita akhir-akhir ini. Satu kes, membabitkan seorang isteri yang kehilangan suami hampir sebulan lamanya. Kemudian satu rangka ditemui di tempat kereta suaminya dijumpai. Si isteri masih lagi enggan menerima hakikat bahawa itu adalah rangka suaminya kerana ujian DNA belum dapat dibuktikan. Banyak kemusykilan yang timbul mengenai kes ini.

Hal serupa juga menimpa warga pendidik yang terbabit kemalangan bersama anaknya. Kereta, dirinya dan anaknya hangus rentung akibat kemalangan ngeri itu. Kereta, tubuh suami dan anak hangus terbakar di hadapan mata si isteri. Dua isteri yang malang dan beberapa orang anak yatim ditinggalkan.

Sebenarnya di mana sahaja di dunia ini, malang yang menimpa wanita sukar dibentung. Rogol, cabul, pembunuhan, penindasan dan sebagainya semakin menjadi-jadi. Contohnya wanita Palestine yang ramai menjadi balu akibat peperangan. Hingga kini hak mereka masih dinafikan. Sedangkan mereka mesti meneruskan kehidupan demi anak-anak.

Bayangkan jika anda menghadapi hal seperti ini? Sama seperti lelaki setiap wanita mahu dirinya dihormati, dihargai, disayangi, diberi peluang membuat keputusan dan mahukan keadilan dalam apa juga aspek samada di luar rumah atau di dalam rumahnya sendiri.

Semoga resolusi di Mesyuarat NAM Mengenai Pembangunan Wanita yang sedang berlangsung tidak hanya tinggal di kertas-kertas kerja sahaja. Mesyuarat bertemakan: Memperkasakan Wanita dan Menghadapi Cabaran Globalisasi itu dihadiri para perwakilan dari 84 negara. Ia akan berakhir hari ini.

Monday, May 9, 2005

TERIMA KASIH DAUN KELADI
SABTU - Sejak malam sebelumnya anak beranak (si bapa dengan tiga orang anak) dok sibuk-sibuk berbincang. Tentang apa? Saya buat tak tahu saja - buat sibuk dengan urusan sehari-hari terutama urusan hujung minggu yang berganda daripada hari biasa. Dari pagi saya menjadi tukang dobi, tukang masak, jadi drebar, jadi tukang kebun bla... bla...bla.

Alhamdulillah lewat petang suami ajak keluar. Kami ke JJ Taman Maluri. Jalan punya jalan, naik letih kaki dengan karenah anak-anak nak itu ini yang si bapa dah janjikan. Kami memang jarang keluar berjalan-jalan window shopping. Hanya bila perlu sahaja. Akhirnya wow! Vacuum Cleaner Hanabishi dihadiahkan sempena Hari Ibu. Thanks my dear, kebetulan vacuum di rumah dah sebulan lebih rosak.

AHAD - A`wal pagi macam biasa, buat breakfast. Biasanya hujung minggu buat lebih sikit, sekaligus dengan lunch. Senang cerita. Tengahari sampai petang saya sibuk menaip dan tengok homework anak-anak. Setelah penat menaip, lepak depan tv. Lepas Asar lepak lagi. Hingga pukul enam petang, my dear pelawa keluar. Anak-anak pun join. Bila ditanya ke mana? Semua diam. Akhirnya sampai di Jalan Ampang. Wah! Dinner di The Lotus!

Anak-anak pulak dengan gelak-gelak hulur sebungkus hadiah. Isinya coklat 3 bar! Mak datuk... dah tau mama tak makan coklat kenapa bagi coklat? "Kalau tak mau, maknanya coklat tu untuk kita oranglah!" Eh buruk siku! Hai anak,
anak...!

Sebenarnya sebagai ibu sama ada saya atau siapa sahaja tidak mengharapkan apa-apa hadiah (kalau dapat satu bonuslah!). Ini kerana membesarkan anak-anak adalah satu tanggungjawab, satu amanah. Emak-emak zaman dulu-dulu pun, si abah tak pernah hadiahkan apa-apa. Tapi mereka tetap memberikan didikkan sempurna untuk anak-anak kerana anak adalah harta kepada ibu dan bapa.

Saturday, May 7, 2005

Friday, May 6, 2005

IBU RATU HATI
SAMBUTAN hari ibu akhir minggu ini sudah dimulakan oleh Majalah Seri Dewi & Keluarga dan Majalah Nona di Hotel Nikko semalam. Siaran lintas langsung dengan kerjasama Wanita Hari Ini dan TV3 berlangsung semalam dan diteruskan lagi hari ini. Jika ingin menontonnya saksikanlah lintas langsung rancangan Wanita Hari Ini jam 2.30 - 3.00 hari ini yang akan dihadiri tetamu kehormat, Datin Seri Hendon Mahmood. Itulah antara punca kesibukan saya minggu ini dan kerana itu saya mohon maaf, sudah berhari-hari tidak ada entri baru.

KITA SAMA BERDIRI, MEMAYUNGI
(Dedikasi untuk bonda - Hajah Halijah Ibrahim)

Aku harum berkembang dalam wangi tamanmu, bonda
Telah tersebar keseluruh alam, engkau selamanya ratu
Di sisiku kita sama berdiri, memayungi

Sinambungkan nafiri, laungkan gema
Kita sama; siang dan malammu kita serupa
Kau ibu dan aku kini mama buah cintaku

Sesekali aku tersadung, di ribaanmu aku rebah
Engkau membalut luka hatiku
Tanganmu hangat memanjakan
Bibirmu santun menabur pesan;
Hidup adalah keras perasaan

Ya, aku hanya ada kamu, seorang bonda
Hidup ini manis, mari kita hirup bersama
Kemanisan sepanjang zaman
Dipenghujung hayat nikmatnya milik kita

Walau ke dunia mana
Kujunjung setingginya hormat rasa
Dirgahayu untukmu, bonda...

Kuala Lumpur


Bukan kerana sambutan ini sahaja, bila-bila masa pun ibu tetap ibu. Kepada semua wanita bergelar ibu anda memang hebat! Kepada yang bukan ibu apa kata ucapkanlah, luahkanlah erti kasih sayang itu. Jangan simpan dalam hati kerana apabila ibu sudah tiada semua itu tidak bererti lagi.